Salam sahabat,
Kata-kata tersekat di tekak ini. Air
mata mengalir terasa bagai hujan yang turun. Kenangan demi kenangan kita
tergambar jelas. Wajahmu muncul tanpa henti di depan anak mataku. Entah mengapa
sejak akhir-akhir ini ingatan terhadapmu sangat kuat. Berkali-kali aku mencari
khabarmu melalui fb, google, dan juga bertanyakan pada sahabat yang tahu tentangmu.
Namun aku gagal. Sampailah tiba suatu malam. Aku azamkan harapan, aku berdoa
kepada Allah bahawa aku sangat rindu padamu, sangat ingin bertemu denganmu..
akhirnya aku ditemukan dengan namamu di beberapa laman google. Rupanya ejaan namamu
selama ini salah.
Waktu itu terasa tanganku kaku..lidah
membisu..hatiku seakan terhempas-hempas ke batu. Ternyata aku dikhabarkan
dengan berita kepergianmu tiga tahun yang lalu. Mengapa waktu sangat kejam
terhadap kita? Kenapa baru semalam aku mengetahuinya?? Aku pasrah. Aku bersyukur
aku masih menerima khabar darimu walaupun lambat.. mungkin kau mahu aku tahu
tentang kepergianmu. Mungkin kau juga merindui aku. Perasaan dan khabar ini aku
kongsikan dengan ayah. Kata ayah roh yang telah pergi boleh mencari dan bertemu
seseorang ketika kita tidur. Aku akur atas segala-galanya.
Masih lagi jelas di mata dan telinga
ini, kali terakhir aku menerima khabar darimu ketika kita di tingkatan 4. Salam
yang kau sampaikan kepadaku daripada Helmi dan kau mengatakan kau akan
berpindah ke Kuala Lumpur. Waktu itu aku telah pun merindukanmu. Berpucuk-pucuk
surat aku tulis. Tapi aku tak tahu di mana akan aku pos surat-surat itu. Akhirnya
surat itu pun aku simpan dan kini tak tahu kat mana.
Rindu tinggal rindu. Aku ke Kuala
Lumpur tanpa terbayang pun akan mencarimu. Aku terfikir kenapa semasa aku di Kuala
Lumpur aku tak pernah cuba untuk mencarimu. Kita bertemu dan berpisah. Kenangan
yang kau tinggalkan dan biodata yang kau berikan menjadi kenangan kepadaku. Masih
tergambar jelas ketika kita sama-sama jalan kaki naik ke surau ar-rahman,
berbaris di dewan makan, berborak depan rumah warden, bising dalam kelas, dan
merayau lepas makan petang. Semua itu kembali dalam hati dan ingatanku.
Ada juga beberapa kali kau mengajakku
ke kelas al-quran ustaz sahibullah. Aku yang memang sangat degil pada masa itu
tidak akur dengan ajakkanmu. Waktu itu kau nor diah dan marziah. Aku lebih rela
belajar sendiri dan mengikuti ceramah di surau puteri. Aku juga masih ingat
ketika cerpen-cerpen nordiah menjadi kegemaranmu. Dengan cerita-ceritanya yang
selalunya berakhir dengan kesedihan apabila watak utamanya meninggal dunia. Juga
ketika aku menjadi tempat kau berkongsi segala cerita. Biasalah waktu tu kan
aku PRS..semua cerita itu aku simpan kejap dalam ingatan hinggalah sekarang. Itu
tetap menjadi rahsia kita.
Semua kita akan kembali. Namun bagaimana
dan bila tiada siapa yang akan mengetahui. Hanya Allah sahaja yang tahu dan
mempunyai kekuasaan terhadap semuanya. Puisi ini aku abadikan buatmu sahabatku.
Kerinduan ini tiada pernah berpenghujung,
Ketika wajah dan suaramu kedengaran
jelas,
Memukau aku dengan segala keindahan,
Kenangan yang takkan pernah padam dan
tenggelam,
Ku abadikan buat selama-lamanya,
Ku sambut salam mu sahabat,
Ku renungi jalan perjalanan kita,
Ku telusuri perjalanan singkatmu,
Ku abadikan dalam ingatanku,
Kepergian mu tanpa menungguku,
Kepergian mu tanpa bertemuku,
Kepergian mu tanpa pesanan buatku,
Ku abadikan dalam kenangan dan
kerinduan ini,
Sekiranya aku rindu,
Terimalah kiriman surah al-fatihah,
Berbungakan surah yassin dan tahlil,
Hanya ditujukan buatmu,
Berbahagilah di sana,
Bertenanglah,
Bersabarlah,
Kami semua juga akan bersamamu..